Maklumat yang mungkin ramai dah tahu, tetapi ada ramai lagi yang masih belum tahu dan tidak memahami bacaan kolesterol dalam ujian darah. Tidak dinafikan ramai yang pening untuk membaca keputusan ujian kolestrol. Ada beberapa jenis bacaan, dan ada beberapa nombor-nombor juga.
Ujian Darah Untuk Mengetahui Bacaan Kolesterol
Tahap kolesterol harus diperiksa sekurang-kurangnya sekali dalam setiap lima tahun untuk semua orang yang berusia lebih dari 20 tahun. Ujian pemeriksaan yang biasanya dilakukan adalah ujian darah yang dipanggil lipid profile. Pakar kesihatan mengesyorkan lelaki berumur 35 tahun ke atas dan wanita berumur 45 tahun ke atas untuk lebih kerap melalukan pemeriksaan kerana lebih berisiko untuk mengalami masalah kolesterol tinggi.
Kolesterol hanya boleh diperiksa melalui ujian darah. Dan biasanya sesiapa yang nak buat pemeriksaan ini disarankan untuk berpuasa buat beberapa jam tertentu.
Selalunya yang diperiksa bacaan kolesterol termasuklah;
- bacaan kolesterol keseluruhan
- LDL (low density lipoprotein) kolesterol iaitu kolesterol jahat
- HDL (high density lipoprotein) kolesterol iaitu kolesterol baik
- Trigliserida (lemak yang dibawa dalam darah dari makanan yang kita makan. Kalori yang berlebihan, alkohol, atau gula dalam badan ditukar menjadi trigliserida dan disimpan dalam sel-sel lemak di seluruh badan.)
Maksud Di Sebalik Nama Kolesterol
LDL dikenali sebagai kolesterol jahat kerana mengakibatkan pembentukan plak dalam salur darah. Kesannya salur darah semakin mengecil dan menghalang aliran darah. Risiko semakin tinggi kerana boleh menyebabkan kerosakan arteri, penyakit jantung dan angin ahmar atau strok.
HDL ialah kolesterol baik yang akan membawa kolesterol ke pembuluh darah untuk di bawa ke hati dan seterusnya akan dikeluarkan dari tubuh. Proses yang dilakukan HDL ini bolehlah disifatkan seolah-olah proses “pembersihan” arteri kerana ia bergerak melalui saluran darah.trigliserida
Trigliserida adalah lemak dalam darah. Trigliserida akan dialirkan melalui aliran darah untuk dimanfaatkan sebagai sumber tenaga. Namun trigliserida ini boleh menjadi berlebihan bila kita makan lebih dari apa yang diperlukan. Kita memerlukan trigliserida untuk kesihatan yang baik. Tetapi trigliserida yang tinggi mungkin menimbulkan risiko penyakit jantung dan mungkin tanda sindrom metabolik. Sindrom metabolik adalah gabungan tekanan darah tinggi, gula dalam darah tinggi, lemak yang terlalu banyak di sekitar pinggang, rendahnya kolesterol HDL (“baik”), dan trigliserida yang tinggi. Sindrom metabolik meningkatkan risiko anda untuk penyakit jantung, diabetes, dan strok.
Bacaan Kolesterol
Bacaan kolesterol ni ada 2 unit yang berbeza iaitu mg/dL dan mmol/L. Kedua-kedua ini sama sahaja. Yang membezakannya cuma unit sahaja. Contohnya 200 mg/dL sama sahaja dengan 5.2 mmol/L.
Bacaan Kolesterol
Kebiasaanya bacaan yang kita gunakan adalah mmol/L tetapi dah banyak juga makmal-makmal hospital dan klinik-klinik sekarang memberikan bacaan dalam mg/dL.
Jadi jangan ada pula yang terkejut kalau biasa buat ujian medikal tengok bacaan kolesterol 4.9 (mmol/L) sekali buat checkup baru nampak bacaan dan jadi 180 (mg/dL) 🙂
Bacaan Kolesterol Mana Yang Normal dan Selamat?
Secara ringkasnya, bacaan kolesterol yang sihat adalah seperti berikut;
- Jumlah kolesterol tidak melebihi 200 mg/dL atau 5.2 mmol/L
- LDL kolesterol tidak melebih atau 100 mg/dL 2.6 mmol/L (untuk mereka yang tidak berisiko tinggi sakit jantung)
- HDL kolesterol tidak kurang 40 mg/dL atau 1 mmol/L untuk lelaki dan tidak kurang 50 mg/dL atau 1.3 mmol/L untuk wanita
- Dan ini pula bacaan trigliserida yang ringkasnya kita boleh faham paras yang normal adalah kurang 150 mg/dL atau kurang 1.69 mmol/L.
Semoga sedikit sebanyak perkongsian saya ini boleh membantu anda di luar sana sekurang-kurangnya memahami bacaan kolesterol dalam keputusan ujian darah anda. Dan seterusnya boleh mengambil langkah lebih sihat untuk memastikan bacaan kolesterol berada di paras yang normal.