Tahukah anda, dianggarkan satu daripada tiga rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi. Lebih membimbangkan kebanyakkannya langsung tidak sedar bahawa mereka sedang mengalaminya memandangkan penyakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala awal.
Tekanan darah tinggi kini dianggap sebagai penyakit kronik yang melanda rata-rata negara membangun. Ia juga dikenali penyumbang utama kepada serangan strok, sakit jantung dan kegagalan buah pinggang.
Untuk mengetahui sama ada seseorang itu mengalami masalah tekanan darah tinggi adalah dengan bacaan tekanan darah (sekurang-kurangnya tiga kali bacaan) yang melebihi paras normal iaitu 140/90mmHg semasa dalam keadaan rehat.
Bagaimana Darah Tinggi atau Hipertensi Terjadi?
Jantung merupakan otot badan yang paling kuat bekerja dengan mengepam darah ke seluruh badan. Paru-paru akan menerima darah yang mempunyai paras oksigen yang rendah di mana bekalan oksigen diisi semula. Darah yang kaya oksigen akan dipam oleh jantung ke seluruh badan bagi bekalan otot dan sel. Seseorang yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi disebabkan oleh dinding arterinya yang menerima terlalu banyak tekanan secara berterusan menyebabkan ia menjadi keras dan sempit terutama di bahagian otak, jantung dan buah pinggang.
Seseorang yang menghidap penyakit buah pinggang kronik atau ‘Chronic Kidney Disease’ juga tidak terlepas dari masalah ini, kerana buah pinggang tidak dapat menapis cecair. Masalah kesihatan ini juga turut membelenggu mereka yang sedia ada menghidap penyakit ginjal kronik, penyakit kardiovaskular dan kandungan kolestrol yang tinggi.
Seperti penyakit-penyakit lain juga, hipertensi turut terjadi kerana amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti kurangnya latihan fizikal, merokok, meminum alkohol, garam berlebihan di dalam makanan, selain faktor genetik, stress dan obesiti.
Risiko?
Sama ada golongan lelaki atau wanita, kedua-duanya berisiko untuk mendapat penyakit tekanan darah tinggi. Namun kerap kali penyakit ini menyerang lelaki di usia muda. Sehubungan itu, adalah penting bagi setiap orang yang menjangkau usia 30 tahun, lebih-lebih lagi buat mereka yang mempunyai sejarah keluarga melakukan pemeriksaan kesihatan supaya ia dapat dicegah pada peringkat awal.
Apakah Tanda Awal Darah Tinggi atau Hipertensi?
Untuk pengetahuan bersama, tekanan darah setiap orang meningkat ketika hari siang dan menjadi rendah pada waktu malam. Simptom-simptom seperti di bawah mungkin boleh dijadikan rujukan kepada seseorang yang mungkin merasakan dirinya menghidap tekanan darah tinggi:
- Pandangan kabur – Ia terjadi kerana gangguan ‘blood circulation’ di bahagian mata dan saraf penglihatan. Kebiasaannya gejala ini disertai dengan rasa mual dan muntah.
- Sakit kepala – Ini adalah gejala biasa dan kerap dirasakan oleh mereka yang menghidap tekanan darah tinggi. Sakitnya datang secara tiba-tiba dan mendadak, tanpa sebarang sebab yang jelas.
- Sesak nafas – Gejala ini berpunca daripada jantung kerana tekanan darah yang semakin meningkat. Ia akan mengganggu pembuluh darah arteri lantas jantung akan berdenyut semakin laju.
- Hidung berdarah – Jika ini terjadi, ia berkemungkinan disebabkan pembuluh darah pecah di beberapa bahagian badan. Segera berjumpa doktor jika pendarahan pada hidung sukar dihentikan.
- Kebas – Tekanan darah tinggi juga berlaku apabila aliran darah ke dalam badan menjadi laju sehingga bahagian sendi, tangan dan kaki menjadi kebas. Ia juga simptom awal kepada strok yang berpunca daripada hipertensi.
Cara Rawatan Darah Tinggi atau Hipertensi
Penyakit tekanan darah tinggi merupakan penyakit sepanjang hayat. Sekali menghadapinya, risiko untuk pulih adalah amat rendah. Maka adalah penting untuk setiap masyarakat mengelakkan perkara yang memungkinkan dirinya menghidap penyakit ini.
- Ubah cara hidup – Ini termasuklah dengan sentiasa melakukan latihan fizikal, mengambil makanan yang kurang lemak dan garam sekaligus membantu mengekalkan berat badan yang ideal. Begitu juga pengambilan alkohol dan rokok perlu dihentikan kerana tabiat ini akan meningkatkan tekanan darah.
- Pengambilan ubat – Ia membantu menurunkan tekanan darah dan mengelakkan komplikasi daripada akibat tekanan darah tinggi. Terdapat pelbagai jenis ubat tekanan darah tinggi dan penggunaannya bergantung kepada faktor umur pesakit dan penyakit lain yang mungkin dihidapinya.
- Elakkan tekanan – Setiap orang perlu bijak mengawal tekanan agar darah di dalam badan sentiasa stabil dan berjalan dengan lancar. Sentiasa amalkan latihan pernafasan secara perlahan sebagai isyarat kepada sistem saraf untuk ‘bertenang’.
- Tidur awal – Secara purata badan memerlukan tidur antara 4 hingga 5 jam untuk merehatkan tubuh badan selepas seharian bekerja. Rehat yang cukup akan membantu anda menjalani kehidupan yang normal dan sihat.
“Penyakit ini digelar pembunuh senyap kerana kekurangan simptom, jika dibiarkan tanpa kawalan ia boleh membawa kepada banyak penyakit kardiovaskular seperti strok dan kegagalan jantung, malah banyak kes mengakibatkan kematian.”
“Setiap tahun, kira-kira 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok termasuk warga tua, orang dewasa dan kanak-kanak yang menghadapi risiko yang sama. Oleh itu, adalah penting untuk selalu mengetahui punca, simptom dan cara yang betul untuk menguruskan hipertensi.” – Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH), Profesor Datin Dr Chia Yook Chin ( Rujukan Pantau Sendiri Hipertensi)